KLANG: Suasana di jeti Royal Selangor Yacht Club, Pelabuhan Klang di sini, gempar apabila dua kapal layar dilanggar sebuah bot barter trade yang mengalami kerosakan enjin, pada Ahad.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, sepasukan anggota Maritim Selangor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan kira-kira jam 7 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bot KLM Maulana Hasil Abadi dari Indonesia yang dinaiki 15 kru warga Indonesia telah mengalami kerosakan enjin selepas keluar dari Jeti Asa Niaga.


Bot KLM Maulana Hasil Abadi dari Indonesia mengalami kerosakan enjin menyebabkan ia hilang kawalan dan merempuh jeti Royal Selangor Yacht Club, Pelabuhan Klang pada Ahad. - Foto Sinar Harian

"Kerosakan itu kemudian mengakibatkan bot hilang kawalan lalu merempuh jeti dan dua kapal layar di kawasan tersebut.

"Namun, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dan bot berkenaan berjaya dibawa ke Jeti Fulsail," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, orang ramai terutama komuniti maritim diingatkan untuk sentiasa mementingkan keselamatan diri dan sentiasa memeriksa keadaan bot.

Jelasnya, pastikan tiada kerosakan dan bersedia untuk belayar sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

"Sebarang laporan kecemasan atau insiden di perairan negeri ini boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-321760627 bagi tindakan lanjut," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian