KLANG: Sebuah bot penumpang yang tidak mempunyai dokumen sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berhampiran Tanjung Harapan di sini pada Jumaat.

Pengarah Maritim Selangor, V Siva Kumar berkata, bot penumpang berkenaan ditahan pada jam 9.40 pagi.

Menurutnya, bot penumpang itu ditahan Bot Maritim Perkasa 36 yang melakukan rondaan sekitar perairan negeri ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang lelaki warga tempatan berumur 57 tahun.

"Ketika pemeriksaan, didapati seorang penumpang wanita warga tempatan berumur 49 tahun turut berada di atas bot.

"Nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kedua-dua suspek dan bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mempamerkan lesen bot dan tiada kelayakan sebagai nahkoda daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya. - Sinar Harian