KEPALA BATAS: Lima nelayan berjaya diselamatkan selepas bot mereka terbalik akibat dibadai ombak besar dalam kejadian di Sungai Muda, Penaga, di sini, pada Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari, ketika semua nelayan terbabit dalam perjalanan pulang  membawa hasil laut ke tempat pendaratan ikan di Pasar Bisik, Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bot itu terbalik kira-kira 500 meter dari Pasar Bisik.

“Bagaimanapun dengan bantuan daripada bot nelayan yang lain, kesemua mangsa berusia 22 hingga 51 tahun  berjaya  diselamatkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.