NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara India pada Jumaat bagi memulakan lawatan kerja empat hari beliau sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18.
Pesawat khas yang membawa beliau bersama delegasi rasmi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Palam (AFS Palam) tepat jam 6.30 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
Sebaik melangkah keluar dari pesawat di tarmak AFS Palam, ketibaan Perdana Menteri disambut penuh istiadat oleh barisan penyambut tetamu kedua-dua negara.
Barisan penyambut delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Dr Mohd Shaharin Umar; Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India, Sharifah Ezneeda Wafa Syed Khalid Wafa; serta Atase Pertahanan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Kolonel Dr Nizlan Mohammed.
Manakala barisan penyambut bagi pihak kerajaan India pula diwakili oleh wakil kerajaan India yang terdiri daripada Menteri Negara serta pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Luar (MEA)
Mengiringi Perdana Menteri dalam misi diplomasi ini ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.
Sebaik selesai sambutan di lapangan terbang, Perdana Menteri terus bergerak ke hotel penginapan sebelum memulakan gerak kerja diplomasi peringkat tinggi menerusi pertemuan dua hala bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Hotel ITC Maurya pada jam 9 malam waktu tempatan.
Pertemuan berkenaan menjadi medan kritikal susulan penerimaan rasmi Malaysia sebagai 'Negara Rakan' (Partner Country) BRICS, selain memperkukuh kerjasama perdagangan dua hala, keterjaminan rantaian bekalan makanan, dan sektor tenaga.
Agenda persidangan kemuncak diteruskan pada Sabtu apabila beliau menghadiri sesi pembukaan di Pusat Konvensyen Bharat Mandapam, disusuli siri rundingan dua hala bersama rakan sejawatan termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian sebelum menghadiri Majlis Resepsi Makan Malam rasmi para pemimpin.
Penganjuran sidang kemuncak kali ini oleh India membawa signifikasi besar kepada Putrajaya. Mengulas perkara itu, Sharifah Ezneeda Wafa menegaskan bahawa fokus yang digariskan New Delhi bertepatan dengan aspirasi negara.
"Keutamaan India seperti daya tahan ekonomi, transformasi digital, dan pembangunan mampan sejajar dengan kepentingan Malaysia.
"Penyertaan ini memberi peluang untuk membuktikan keupayaan Malaysia di peringkat global yang akan melengkapkan peranan aktif kita dalam kerangka pelbagai hala seperti ASEAN, PBB, dan OIC," katanya dalam sesi taklimat media di sini pada Khamis.
Beliau menambah, blok ekonomi tersebut membuka ruang kerjasama luas yang selari dengan prinsip diplomasi Putrajaya.
"Saiz pasaran kumulatif BRICS meliputi 3.88 bilion penduduk dunia dengan KDNK AS$29.85 trilion, iaitu kira-kira 27.1 peratus daripada KDNK global.
"Ini mencerminkan komitmen dasar luar Malaysia yang berprinsip, seimbang, dan pragmatik dalam meneroka pasaran baharu," jelasnya.
Sidang kemuncak kali ini mengangkat tema "Resilience, Innovation, Cooperation and Sustainability, Shaping the Future for Inclusive Global Growth", di mana Malaysia dijadual menyampaikan Kenyataan Negara esok, berteraskan kerangka 'Kemanusiaan Diutamakan' (Humanity First).