NEW DELHI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendiriannya mengkritik tindakan Amerika Syarikat (AS) dalam konflik melibatkan Iran dan Palestin, sambil menegaskan Washington kekal antara rakan dagang dan pelaburan paling penting bagi Malaysia.
Dalam wawancara eksklusif bersama NDTV di New Delhi, Anwar berkata hubungan baik antara negara tidak bermakna sesebuah kerajaan perlu bersetuju dengan semua dasar yang dilaksanakan oleh rakan strategiknya.
Menurut beliau, Malaysia mempunyai hubungan erat dengan AS sejak sekian lama, namun tetap berhak menyuarakan pandangan terhadap isu-isu yang dianggap bertentangan dengan prinsip keadilan dan keamanan sejagat.
"Kita boleh menjadi sahabat yang baik tanpa perlu bersetuju dalam semua perkara. Saya menganggap Amerika sebagai sahabat yang sangat penting, namun itu tidak menghalang saya untuk menyatakan pandangan secara terus terang," katanya.
Anwar berkata beliau turut mempunyai hubungan baik dengan pemimpin dunia termasuk Perdana Menteri India, Narendra Modi, namun ia tidak bermaksud kedua-dua negara sentiasa sependapat dalam semua isu.
Mengulas konflik yang semakin memuncak antara AS dan Iran, Anwar mengulangi pendiriannya bahawa masyarakat antarabangsa perlu mempunyai keberanian untuk mengakui punca sebenar berlakunya konflik tersebut.
Beliau berkata ketegangan yang berlaku ketika ini berpunca daripada apa yang disifatkannya sebagai tindakan agresif yang dilakukan terlebih dahulu terhadap Iran.
"Kita mesti jujur dalam melihat fakta. Untuk menyelesaikan konflik, semua bentuk keganasan perlu dihentikan, sama ada oleh Amerika Syarikat, Israel atau Iran," katanya.
Pada masa sama, beliau berpandangan bahawa dunia terlalu berhati-hati untuk mengkritik tindakan kuasa besar, sekali gus menyebabkan usaha mencari penyelesaian yang adil menjadi lebih sukar.
Walaupun lantang mengkritik dasar luar Washington, Anwar mengakui AS masih memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.
"Saya percaya kepada nilai demokrasi dan hubungan yang telah terjalin dengan Amerika sejak sekian lama. Mereka masih merupakan antara rakan perdagangan dan pelaburan terpenting bagi Malaysia," katanya.
Anwar turut mendedahkan beliau pernah mengadakan perbincangan secara terbuka dengan Presiden AS, Donald Trump, mengenai beberapa isu antarabangsa termasuk konflik di Gaza dan Palestin.
Menurutnya, dalam pertemuan itu beliau menyampaikan pandangan Malaysia secara terus terang, termasuk mengenai keperluan mencari penyelesaian damai dan memastikan keadilan untuk rakyat Palestin.
"Kita boleh berkawan baik dengan semua pihak, tetapi pada masa yang sama perlu mempunyai keberanian untuk menyatakan pendirian apabila berlaku ketidakadilan," katanya.
Wawancara itu berlangsung ketika Anwar berada di India bagi menghadiri siri mesyuarat dan program berkaitan BRICS serta mengadakan pertemuan dengan kepimpinan negara tersebut bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India.