KOTA KINABALU: Orang ramai dan pemilik premis di Sabah dinasihatkan membuang persepsi hanya agensi kerajaan sahaja bertanggungjawab meraikan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Yakub Khan.

Sehubungan itu, beliau berkata seluruh rakyat Sabah diminta bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di premis atau kawasan masing-masing bagi menzahirkan perasaan bersyukur sebagai rakyat Malaysia yang kini hidup aman dan hormani.

Katanya nasihat itu perlu diambil perhatian kerana pada masa ini di Sabah, tidak ramai yang mempunyai semangat mengibarkan Jalur Gemilang memandangkan tidak banyak bendera berkenaan dipasang sama ada di pejabat, rumah atau di mana sahaja.

"Ada juga yang membiarkan Jalur Gemilang sehingga usang. Buang sikap hanya menunggu dan mengharapkan pemberian Jalur Gemilang secara percuma daripada mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

"Setiap individu perlu mengubah persepsi bahawa hanya agensi kerajaan sahaja yang berperanan meraikan sambutan ini apabila tibanya bulan Ogos pada setiap tahun," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 peringkat Sabah di sini pada Jumaat.

Pada majlis tersebut, beliau menyambut konvoi 16 kenderaan dan 60 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan didahului Jabatan Penerangan (Japen) yang memulakan kembara itu pada 9 Ogos lepas dengan melalui beberapa daerah di Sabah sebelum berakhir di Kota Kinabalu hari ini.

Yakub turut mengajak seluruh rakyat Sabah menerapkan sikap peduli dan memandang tinggi serta menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara.

"Sekiranya ada ternampak Jalur Gemilang yang lusuh atau koyak, ambil inisiatif untuk membeli dan menukarnya dengan yang baharu atau maklumkan kepada pemilik premis agar bendera tersebut dapat diturunkan dan digantikan dengan yang baharu," katanya.

Mengenai kembara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua agensi terlibat atas usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Menurutnya semangat dan usaha mereka menjayakan mesej perpaduan, patriotisme dan menerapkan keamanan dalam kalangan rakyat khususnya di Sabah harus dipuji.

-- BERNAMA