BUDI95: Kelayakan diperluas kepada pengguna bot Sarawak, siling e-hailing dinaikkan

Menurut Kementerian Kewangan, kelayakan telah diaktifkan kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sistem Subsidi Bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kini diperluas kepada pengguna bot berdaftar di Sarawak.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pada masa sama, siling penggunaan bagi pemandu e-hailing sepenuh masa dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan.
Tambah kementerian, pihaknya turut mengaktifkan kelayakan BUDI95 kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Bumi Kenyalang.
Selain itu, bagi pemandu e-hailing sepenuh masa pula, kementerian telah menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), melibatkan lebih 53,900 individu yang akan menerima kenaikan siling kelayakan kepada 600 liter sebulan."Selain itu, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima BUDI95.
"Mereka terdiri daripada pemandu yang baru mendapat lesen (11,200) dan pemandu yang telah memperbaharui lesen (260), menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia menerima manfaat BUDI95," jelas kenyataan itu.
Ujar kenyataan lagi, kerajaan kekal komited memastikan program subsidi bersasar berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.
Portal ini turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami