'Bukan kes rogol berkumpulan di sekolah tapi seks bawah umur' - Polis Kedah

Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu sebaliknya membabitkan hubungan seksual bawah umur yang berlaku secara berasingan.
ALOR SETAR: Polis Kedah menjelaskan bahawa kes melibatkan empat remaja dan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah daerah Baling bukan kes rogol berkumpulan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kejadian itu sebaliknya membabitkan hubungan seksual bawah umur yang berlaku secara berasingan.
Menurutnya, siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan di beberapa lokasi berbeza termasuk di dalam kelas dan ladang kelapa sawit, bukan secara serentak atau berkumpulan.
“Kejadian berlaku pada waktu petang ketika tiada sesi pembelajaran dan tiada orang lain berada di dalam kelas."Mangsa dipercayai melakukan perbuatan itu dengan empat suspek secara berasingan dan salah seorangnya adalah teman lelaki mangsa,” katanya pada Khamis.
Jelasnya, telefon bimbit milik suspek telah dirampas untuk siasatan lanjut, namun tiada rakaman video seksual ditemui.
Menurutnya, siasatan awal hanya terdapat kandungan video yang menunjukkan perbuatan tidak bermoral membabitkan mangsa.
“Walaupun perbuatan itu dilakukan atas dasar suka sama suka, mangsa masih di bawah umur dan tidak boleh dianggap cukup matang untuk memahami akibatnya.
"Oleh itu, ia tetap diklasifikasikan sebagai rogol bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak kerana penyebaran bahan lucah melibatkan individu bawah umur.
Tambah beliau, seorang suspek adalah bekas pelajar yang telah dibuang sekolah manakala tiga lagi suspek lain masih bersekolah di sekolah itu.
Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati tiada unsur jual beli video terbabit, sebaliknya ia hanya dikongsi dalam kalangan suspek dan mangsa sendiri.
“Polis menyeru semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa dan masyarakat agar lebih peka dan bekerjasama dalam menangani isu sosial seperti ini.
"Tindakan pantas guru disiplin yang memaklumkan kepada ibu mangsa sangat membantu mempercepatkan proses siasatan dan tangkapan,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan empat remaja termasuk tiga pelajar sekolah di Baling ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes rogol dan penyebaran bahan lucah yang tular di media sosial. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami