IPOH: Seramai 1,730 orang remaja perempuan di negeri ini menghadapi masalah kemiskinan haid, yang merujuk kepada maksud tidak mampu memiliki tuala wanita akibat faktor kewangan.

Masalah kemiskinan haid ini tidak wajar dianggap sebagai isu tabu susulan ia mengganggu aktiviti harian mereka yang terbabit, selain menyebabkan para pelajar ini berdepan situasi keciciran sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata antara elemen yang mempengaruhi kemiskinan haid seperti kekangan akses untuk mendapatkan bekalan tuala wanita dan kebersihan serta fasiliti untuk wanita menukar tuala wanita.

"Aspek itu termasuk halangan infrastruktur dari segi penyediaan air bersih, isu privasi dan tempat buangan tuala wanita, kurang pengetahuan dalam ilmu pengurusan haid dan Pendidikan Kesihatan Reproduktif.

"Kajian yang lebih tepat sedang dikumpul oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri bersama Sekretariat Wanita Perak.

"Ia melibatkan pelbagai jaringan rakan strategik kolaborasi daripada agensi kerajaan, swasta dan NGO terutamanya menerusi sekolah- sekolah, agar faktor yang menyumbang kepada kemiskinan haid dapat dikaji dan memberi langkah terbaik untuk jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wong May Ing (DAP-Pantai Remis) pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini pada Jumaat.

Dr Wan Norashikin berkata antara langkah awal yang diambil ialah LPPKN melaksanakan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif melalui Program Advokasi KafeTEEN@PIK dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Ia bagi menyebarkan maklumat pengurusan haid kepada 576 peserta perempuan di peringkat sekolah rendah dan menengah dengan sasaran umur 8 tahun hingga 24 tahun yang diadakan secara dalam talian (webinar).

Katanya, Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak) juga menganjurkan program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Seksual melibatkan 12 siri webinar.

Jelasnya lagi kerajaan negeri bersama Sekretariat Wanita Perak merancang menganjurkan program pemberian Kit Asas Kebersihan Wanita bagi membantu mereka yang mengalami kesukaran, kekurangan atau ketiadaan untuk mendapatkan kelengkapan haid seperti tuala wanita.

"Inisiatif ini untuk memperkasa remaja wanita terutamanya golongan B40 sama ada dalam atau luar bandar serta masyarakat Orang Asli, agar meningkatkan ilmu pendidikan dan advokasi kesihatan reproduktif semasa haid agar lebih yakin dan mengurangkan tekanan dikalangan remaja," katanya.

Sementara itu, ADUN Trong Jamilah Zakaria turut bertanyakan soalan tambahan tentang kesedaran ibu bapa berhubung isu tersebut, selain menyentuh topik haid yang masih dianggap tabu dalam masyarakat.

"Kemungkinan besar ia (haid) merupakan perkara yang masih tabu dalam masyarakat, jadi bagaimana kita nak mendidik agar keluarga tersebut boleh bincangkan perkara ini secara bersama.

"Sekarang zaman dah lain, jadi perkara ini perlu lebih terbuka dan kita bawa perbincangan dalam keluarga," kata Jamilah.

Dr Wan Norashikin turut bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan menyediakan tuala wanita yang lebih mesra alam serta berkos rendah.

"Cadangan yang dibawa YB Trong itu memang sangat baik, kita mendapati tuala wanita mesra alam dan kitar semula sangat baik serta praktikal.

"Kerajaan negeri akan melihat peluang ini untuk menggunakan skil wanita untuk mencipta peluang perniagaan untuk diusahakan dalam menghasilkan pad kitar semula, boleh dicuci dan dipakai semula," katanya.