MALAYSIA
Bukit Aman sahkan JIPS siasat pegawai penyiasat kes Zara Qairina

Datuk Hamzah Ahmad mengesahkan siasatan telah dimulakan berhubung dakwaan ketidakpatuhan terhadap prosedur siasatan dalam kes berkenaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terhadap pegawai penyiasat yang terlibat dalam siasatan kematian remaja perempuan, Zara Qairina Mahathir.
Ringkasan AI
- JIPS Bukit Aman sedang menyiasat pegawai penyiasat kes kematian Zara Qairina Mahathir atas dakwaan ketidakpatuhan prosedur, termasuk kegagalan memohon bedah siasat awal.
- AGC mengarahkan jenazah Zara digali semula untuk bedah siasat pada 9 Ogos di HQEI, selepas disahkan meninggal dunia pada 17 Julai akibat disyaki terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
- Siasatan turut melibatkan kemungkinan penglibatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Ketua Polis Daerah, dengan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai dan penyelia yang gagal memantau siasatan.
Ketika ditanya sama ada siasatan turut melibatkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) dan Ketua Polis Daerah (OCPD), beliau menjelaskan perkara itu masih dalam siasatan.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu memaklumkan bahawa siasatan pasukan petugas khas mendapati pegawai penyiasat tidak memohon untuk bedah siasat dilakukan, yang bercanggah dengan prosedur standard.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil bukan sahaja terhadap pegawai penyiasat, tetapi juga penyelia terlibat kerana tiada pemantauan dilakukan.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa mayat Zara Qairina, 13, perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
AGC berpendapat wujud keperluan untuk siasatan lanjut oleh PDRM demi memastikan ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Berikutan itu, jenazah remaja tersebut yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, Sabah digali semula pada 9 Ogos lalu dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan semula awal pagi Isnin di tanah perkuburan sama.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai di HQEI selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai, disyaki terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami