MALAYSIA
Bunuh teman wanita: Lelaki warga India dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

Hakim menjatuhkan hukuman itu terhadap Palwinder Singh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga India dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya dengan menjerut leher selepas melakukan hubungan seks, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas juruteknik Palwinder Singh, 28, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.
"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 6 Okt 2022," kata hakim itu.
Palwinder didakwa membunuh teman wanitanya berusia 36 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini pada 8.30 malam hingga 9.20 malam, 6 Okt 2022.Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman.
Peguam K. Viknesvaran memohon hukuman penjara atas alasan ia kesalahan pertama anak guamnya selain dia telah menyesal.
Dua saksi pembelaan memberi keterangan di mahkamah pada perbicaraan bermula pada 8 Nov 2024.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami