KUALA LUMPUR:Bursa Malaysia yang mencatatkan kenaikan sepanjang minggu lepas ditutup rendah hari ini susulan prestasi serantau yang bercampur-campur, berikutan pengambilan untung dalam saham berwajaran tinggi dengan didahului kaunter sarung tangan.

Petunjuk pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 21.84 mata kepada 1,662.74 daripada 1,684.58 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks itu dibuka 2.12 mata lebih rendah kepada 1,682.46 sebelum bergerak di antara 1,662.45 dengan 1,695.96 mata sepanjang dagangan hari ini.

Bagi pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 964 berbanding dengan 461 manakala 368 kaunter tidak berubah, 351 kaunter tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 11.88 bilion saham bernilai RM7.20 bilion daripada 10.03 bilion saham bernilai RM6.19 bilion pada Jumaat lepas.

Di peringkat rantau, Bursa Saham Shanghai China meningkat 0.66 peratus lepada 3,369.12, Indeks Straits Times Singapura naik 1.48 peratus kepada 2,863.45 dan Nikkei 225 Jepun menambah 0.30 peratus kepada 26,732.44 namun Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.44 peratus kepada 26,389.52.

Peniaga berkata pasaran serantau mengalami prestasi bercampur-campur dalam situasi kemajuan yang dicatatkan vaksin COVID-19, apabila Amerika Syarikat mula menghantar vaksin pada hujung minggu yang baru berakhir.

Sentimen pasaran turut disokong oleh laporan bahawa Britain dan Kesatuan Eropah telah bersetuju untuk meneruskan rundingan perdagangan Brexit selepas tarikh akhir pada Ahad, katanya.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata bagi peringkat tempatan, pasaran kekal rancak pada kebanyakan masa dagangan dengan meneruskan penutupan tertinggi dalam tempoh 18 bulan pada Jumaat lepas, dipacu oleh faktor pemulihan serta tempoh berterusan bagi kalangan syarikat memperelok akaun masing-masing.

"Bagaimanapun pengambilan untung pula wujud kerana pasaran amat kukuh minggu lepas.

"Di samping itu, pasaran juga mengalami penjualan saham syarikat sarung tangan getah yang berterusan menjelang akhir sesi dagangan, mempengaruhi indeks barometer dalam keadaan pengagihan vaksin," katanya kepada Bernama.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun satu sen kepada RM8.90, Public Bank dan Top Glove masing-masing susut 60 sen kepada RM21.30 dan RM6.30 manakala Petronas Chemicals kurang empat sen kepada RM7.85 sementara Tenaga naik 26 sen kepada RM10.60.

Kalangan saham aktif, Sino Hua-An menokok tiga sen kepada 16.0 sen, AirAsia X naik 1.5 sen kepada 10.5 sen dan P.A Resources menambah setengah sen kepada 18.5 sen.

Iris turun dua sen kepada 37 sen sementara waran Focus Dynamics tidak berubah pada 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas kurang 153.75 mata kepada 11,931.96, Indeks FBMT 100 turun 148.51 mata kepada 11,700.23, FBM 70 susut 172.38 mata kepada 15,197.63, Indeks FBM Emas Syariah merosot 222.94 mata kepada 13,208.59 dan FBM ACE jatuh 602.98 mata kepada 10,468.12.

Sementara itu, Perkhidmatan Kewangan turun 131.79 mata kepada 15,914.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri susut 1.22 mata kepada 176.45 dan Indeks Perladangan turun 69.50 mata kepada 7,342.59.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 7.57 bilion saham bernilai RM6.15 bilion daripada 5.99 bilion saham bernilai RM5.11 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.60 bilion unit bernilai RM259.50 juta daripada 1.23 bilion unit bernilai RM216.62 juta .

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula berkurangan kepada 2.71 bilion saham bernilai RM796.33 juta daripada 2.8 bilion saham bernilai RM861.41 juta pada Jumaat lepas.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbangkan 1.60 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.83 bilion), pembinaan (357.53 juta), teknologi (472.93 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (222.63 juta), hartanah ( 545.91 juta), perladangan (149.95 juta), REIT (19.66 juta), dana tertutup (48,300), tenaga (1.84 bilion), penjagaan kesihatan (184.27 juta), telekomunikasi dan media (97.50 juta), pengangkutan dan logistik (143.16 juta) serta utiliti (114.89 juta).

-- BERNAMA