MALAYSIA
Buruh didakwa intai usahawan wanita di dalam bilik mandi rumah inap

Tertuduh Ahmad Farhan Rizal Abdullah mengaku tidak bersalah, dan dibenarkan ikat jamin RM6,000. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengintai seorang usahawan wanita di dalam bilik mandi dan menceroboh sebuah premis tempat tinggal, minggu lepas.
Ringkasan AI
- Seorang buruh didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengintai wanita dalam bilik mandi dan menceroboh inap desa di Manir, Terengganu pada 26 Ogos.
- Tertuduh mengaku tidak bersalah, dan dibenarkan ikat jamin RM6,000; kes disiasat di bawah Seksyen 509 dan 448 Kanun Keseksaan.
- Dalam kes berasingan, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan pada tahun 2016.
Kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa telah melakukan pencerobohan jenayah dengan berada di dalam kawasan premis yang digunakan sebagai tempat tinggal pada hari, masa dan lokasi yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabilah Rusli manakala tertuduh diwakili peguam Azlina Jaafar daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Azli Mohd Noor dalam kenyataan berkata mangsa dan suaminya yang berasal dari Ampang, Selangor telah menyewa inap desa terbabit selama empat hari bermula dari 25 Ogos untuk bercuti dan menjalankan penggambaran iklan baju Melayu.
Katanya, ketika sedang mandi, mangsa melihat kelibat seorang lelaki pada cermin tingkap sambil memegang telefon bimbit.
Sementara itu, di kamar Mahkamah Majistret berasingan, Ahmad Farhan Rizal dikenakan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badannya, sembilan tahun lepas.
Berdasarkan pertuduhan, dia didapati memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kira-kira 12.15 tengah malam pada 11 April 2016.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tangkap, iaitu 27 Ogos dan lelaki itu dikenakan pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada Polis Diraja Malaysia dan tertuduh diwakili peguam Nur Jawahir Mohd Zulmajdi daripada YBGK.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami