AYER KEROH: Gara-gara memukul dan menendang isteri yang menolak melakukan hubungan seks, seorang  buruh dihukum penjara selama lima tahun dan enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh V Murugan, 30, turut memukul anak lelakinya yang berusia enam tahun dalam kejadian yang berlaku pada 9 Oktober 2021.

Dia dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin dan Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa sengaja mencederakan anak lelakinya berusia enam tahun dengan memukul bahu kanan mangsa menggunakan wayar USB telefon serta memukul isteri berusia 24 tahun menggunakan topi keledar di kepala mangsa.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326a akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga,  dia didakwa sengaja menakutkan isterinya secara jenayah berbentuk ugutan dengan cara meletakkan sebilah parang di leher mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang bekerja di kedai besi buruk boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 6 petang di sebuah rumah di Ujong Pasir dalam daerah Melaka Tengah pada 9 Oktober 2021.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didapati sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya dengan cara menendang mangsa di bahagian dada sehingga wanita itu terjatuh.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326a akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang berada dalam keadaan mabuk bertindak mengugut serta memukul isterinya selepas berang mangsa enggan melakukan hubungan seks dengannya.

Kejadian itu turut disaksikan anaknya yang bertindak menjerit sebelum turut dipukul menggunakan wayar USB telefon.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara keseluruhan lima tahun dan enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 10 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N Sivashangari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.