KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan mekanisme ketelusan dan akauntabiliti yang lebih kukuh bagi memastikan setiap agensi kerajaan dapat dipantau secara berkesan oleh masyarakat.
Ketua Penyelidikan dan Advokasi Dasar, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center), Arief Hamizan berkata, saluran sedia ada bagi membolehkan orang awam menuntut akauntabiliti daripada agensi kerajaan masih terhad.
"Saluran sedia ada bagi membolehkan orang awam menuntut akauntabiliti daripada agensi kerajaan masih terhad.
"Pada masa sama, budaya kerahsiaan dalam birokrasi yang masih berakar umbi terus menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi awam," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan penubuhan pasukan petugas khas antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menangani ketirisan hasil negara di pelabuhan.
Arief menyifatkan penubuhan pasukan petugas itu sebagai satu langkah positif, namun menegaskan peranan, kuasa dan mekanisme pelaksanaannya perlu ditakrifkan dengan jelas.
Menurutnya, garis panduan yang kukuh juga perlu diwujudkan bagi memastikan pasukan petugas berkenaan beroperasi secara berkesan, mengelakkan pertindihan tanggungjawab serta memberi impak yang bermakna dalam menangani kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus.
Badan pemerhati antirasuah itu turut menegaskan, usaha memperkukuh penguatkuasaan perlu disokong dengan pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti dalam agensi kerajaan.
Arief berkata cadangan reformasi termasuk pengenalan undang-undang Kebebasan Maklumat serta penubuhan pejabat Ombudsman persekutuan bagi menyiasat dan menyelesaikan aduan awam terhadap badan kerajaan mampu memperkukuh pengawasan masyarakat.
Katanya, kejayaan reformasi berkenaan bergantung kepada sejauh mana kerangka pelaksanaannya selaras dengan amalan terbaik antarabangsa bagi mewujudkan institusi awam yang lebih terbuka, responsif dan diyakini.
Minggu lalu, media melaporkan pengumuman penubuhan pasukan petugas khas bagi menangani ketirisan hasil negara itu memerlukan penjelasan lanjut, khususnya berkaitan skop kuasa, fokus operasi serta kaedah laporan hasil siasatan kepada umum.
Kerjasama strategik antara kedua-dua agensi itu merupakan langkah positif dalam memperkukuh penguatkuasaan, terutama bagi menangani isu berkaitan pengurusan kontena, penyeludupan, pemalsuan dokumen serta cubaan mengelak pembayaran cukai.
Bagaimanapun, masih belum jelas bagaimana pasukan petugas itu akan beroperasi, termasuk sama ada peranan utamanya adalah dalam aspek pemantauan, pencegahan atau tindakan penguatkuasaan terhadap pihak yang terlibat dalam kesalahan berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman sebelum ini berkata cadangan penubuhan pasukan petugas khas itu dibincangkan semasa kunjungan hormat Ketua Pengarah JKDM, Datuk Amran Ahmad ke ibu pejabat SPRM.
Beliau berkata kedua-dua agensi turut bertukar pandangan mengenai cabaran operasi termasuk prosedur pemeriksaan kastam, kekangan birokrasi serta isu dalaman yang dihadapi Jabatan Kastam.
Menurutnya, perbincangan itu turut menyentuh mekanisme bagi membendung ketirisan dalam pengurusan kontena di bawah bidang kuasa JKDM di pelabuhan seluruh negara.