MALAYSIA
Cabaran bina institusi keluarga berubah seiring kemajuan teknologi - Dr Wan Azizah

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan), bergambar bersama Pemegang Amanah Persatuan Malayalee Seluruh Malaysia (AMMA) sempena Sambutan Jubli Emas AMMA ke-50 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Cabaran dalam membina institusi keluarga pada hari ini semakin berubah seiring dengan kemajuan teknologi sekali gus menuntut kesedaran sewajarnya daripada semua pihak, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan kemajuan teknologi boleh menjejaskan hubungan keluarga tanpa bimbingan dan kesedaran.
- Beliau menegaskan keluarga adalah institusi terpenting dan ibu bapa perlu mengutamakan pendidikan anak-anak di rumah.
- AMMA dipuji atas peranannya memupuk kecemerlangan akademik, integriti dan nilai murni dalam komuniti.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Jubli Emas Persatuan Malayalee Seluruh Malaysia (AMMA) Ke-50 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B N Reddy, Penaung AMMA Tan Sri Ravindran Menon dan Presiden AMMA Dr Manohur Kurup.
Dr Wan Azizah berkata walaupun sibuk dengan urusan seharian, setiap daripada ibu bapa tidak boleh lupa bahawa keluarga adalah sekolah pertama dan institusi terpenting dalam kehidupan kanak-kanak.
"Membina hari esok yang lebih baik bermula dengan cara kita membesarkan anak-anak hari ini dan ia bermula dari rumah.
"Jadi, walau apa keadaan kita mesti sentiasa mengutamakan keluarga dalam setiap perkara yang kita lakukan," katanya.
Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata AMMA boleh dijadikan contoh menerusi peranan cemerlangnya yang berjaya membina sistem sokongan untuk generasi muda dan komuniti.
Beliau berkata sejak penubuhannya, AMMA telah memupuk kecemerlangan akademik, membina integriti dan sahsiah serta memperkasakan warganegara yang bersedia menyumbang kepada negara.
"Ini adalah intipati sebenar Malaysia MADANI, membina masyarakat yang penyayang, inklusif dan berasaskan nilai-nilai murni," katanya.
Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyampaikan anugerah kepada barisan kepimpinan AMMA yang telah mencurahkan bakti sepanjang 50 tahun penubuhannya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami