MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) adalah entiti yang dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 48 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dengan turut diperincikan tujuan dan fungsi MPP.
Walaupun ekosistem kampus mengalami fasa 'gangguan' pandemik COVID-19, wakil yang membawa suara pemegang taruh utama di Universiti tetap perlu dipilih dengan telus dan penuh kesaksamaan.
Pemilihan MPP atau ada juga cenderung menggunakan istilah Pilihan Raya Kampus (PRK) kini dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar.
Jelas sekali, usaha pemberdayaan ini kelihatan semakin selesa dan disambut baik oleh semua pihak di kampus.
Untuk itu, peranan yang dimainkan oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP (JPMPP) atau ada juga yang menggunakan Campus Election Committee (CEC) bukanlah suatu tugas yang mudah.
Jika sebelum ini, pelaksanaan PMPP/ PRK ditadbir urus bersama oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) (TNCHEPA) dan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), kini naratif perkongsian kuasa demi kebaikan bersama semakin jelas impaknya.
Memikul amanah seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semua proses kerja dari A hingga Z diketuai sendiri oleh pelajar.
Sesi libat urus dan gerak kerja bersama semua pihak berpentingan dilaksanakan bagi memastikan PMPP/PRK berjalan dengan lancar dan berada di neraca saksama serta nilai integriti yang menjulang.
Bagi pihak Universiti, menjadi hasrat agar lebih ramai siswa siswi terlibat bersama sebagai jawatankuasa dan sukarelawan JPMPP.
Penglibatan ini adalah isyarat positif ke arah proses pendidikan rakyat Malaysia yang memahami erti demokrasi.
Dalam konteks pengalaman, penglibatan sebagai JPMPP merupakan medan latihan yang sangat baik bagi menajamkan kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks.
Walaupun skalanya adalah di peringkat kampus, tetapi menerusinya dapat dipelajari seni penyelesaian masalah yang kompleks.
Apakah itu masalah yang kompleks?
Masalah yang kompleks diukur menerusi kelebaran julat konflik yang terlibat, kedalaman analisis dan pengetahuan diperlukan, keterlibatan isu yang unik, keperluan mematuhi piawaian ditetapkan, kehendak pengguna dan pemegang taruh pelbagai, impak penyelesaian terhadap pelbagai aspek seperti ekonomi, persekitaran, sosial, politik, etika, kesihatan dan kelestarian.
Begitulah PMPP/PRK, memerlukan perancangan, ketelitian, kesungguhan dan tidak boleh sama sekali hanya semberono.
Jika tidak, pasti pelbagai isu yang tidak diingini akan timbul dan mendatangkan mudarat kepada khalayak umum.
Dalam pada kita meraikan pembudayaan demokrasi kampus yang turut memberi impak kepada perkembangan dan gaya kepimpinan negara pada masa depan, di menara ilmu inilah merupakan dataran terbaik untuk dilahirkan pemimpin yang berjiwa besar.
Pemimpin yang benar-benar menginsafi maksud YB, yang membawa maksud Yang Berkhidmat.
Sebagai individu yang menyerah diri untuk menjadi Yang Memberi Khidmat, bukanlah calang-calang calon sebenarnya.
Calon-calon yang hanya bertanding untuk kepentingan peribadi hendaklah jauh-jauh disepak ke tepi.
Memikul amanah ini tersangatlah berat.
Bagi yang bersedia menawarkan diri sebagai YB Kampus, fikir sedalamnya tahap kesediaan untuk melakukan pengorbanan dan memberi khidmat kepada rakan-rakan yang memerlukan.
Dengan 'diganggu' oleh COVID-19, pasti isu-isu kampus yang stereotaip begitu membosankan.
Semua bakal YB kampus perlu lebih tekun meneliti isu yang selari dengan situasi semasa demi kebaikan bersama.
Lingkaran isu-isu kebajikan, kesejahteraan, keselamatan serta hal ehwal pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian barangkali perlu diperhalusi.
Turut banyak dibincangkan di peringkat nasional ialah kerisauan berkaitan isu kebolehpasaran graduan lebih-lebih lagi pada era yang serba mencabar ini.
Dengan hampir majoriti pelajar tidak berada di kampus, mampukah calon-calon YB kampus mencerap sebaiknya isu-isu kampus?
Setelah isu utama dicerap, setiap isu mesti dipersembahkan dalam bentuk penyataan masalah dan cadangan penyelesaiannya, lantas wujudlah apa yang dikatakan sebagai manifesto.
Manifesto yang lazimnya menjadi alat pemasaran dalam PMPP/PRK hendaklah dibina dengan telus dan tulus.
Usah sesekali berbangga melaungkan manifesto yang tidak difahami, angkara manifesto tersebut disediakan oleh proksi masing-masing tanpa tahu asal usulnya, tanpa menjalankan sedikit pun kajian dan analisa malah menilai status quonya.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manifesto bermaksud pengisytiharan kepada orang ramai tentang dasar (tujuan, dan lain-lain) sesuatu parti politik sebelum pilihan raya dan lain-lain lagi.
Justeru, didiklah pengundi dengan memberikan manifesto yang berkualiti, agar yang mengundi tidak tersilap undi.
Manifesto yang dibawa mestilah diasaskan oleh prinsip S M A R T, masing-masing S (specific) merujuk kepada khusus dan jelas, M (measurable), boleh diukur hasilnya, A (achievable) iaitu boleh dicapai, R (realistic) iaitu bersifat menyelesaikan masalah sebenar dan T (timely), iaitu boleh dilaksanakan dengan tempoh lantikan jawatan.
Tanpa pertimbangan ini, lazimnya manifesto tidak lebih hanya bersifat janji manismu dan retorik semata-mata.
Akhirnya, PMPP/PRK menjadi beku, lesu dan membosankan serta menyebabkan pengundi hilang minat dan kepercayaan kepada sistem pewakilan pelajar.
Sekiranya ini berlaku, pemulihan segera mesti dilakukan dengan penampilan calon-calon yang berkarisma bersama manifesto yang berkualiti.
Kelak, setelah memikul jawatan usahakan sebaiknya dan perlu sentiasa melapor perkembangan gerak kerja dan agenda YB kampus kepada pengundi.
Modalnya mudah sekali, ingin menjadikan kampus tempat yang lebih baik untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.
Dengan pandemik COVID-19 yang melanda, pemilihan diteruskan dengan perlunya inovasi seperti kaedah penamaan calon, berkempen, rayuan hinggalah kepada yang utama iaitu proses membuang undi.
Terdahulu, ketika peralihan daripada sistem undi kertas kepada sistem undi elektronik, tidak sedikit juga pihak yang tidak bersetuju atas sebab-sebab tertentu.
Kini, dengan pengundi berada di lokasi masing-masing, adakah kita masih ingin berkeras, tidak ingin berubah atau masih lagi berprasangka?
Mengundi secara dalam talian pastinya suatu eksperimentasi besar dalam konteks mempromosi kempen calon, menilai sikap pengundi serta kebolehupayaan sistem bagi sejumlah besar siswa siswi mengundi pada suatu tempoh yang sama.
Pastinya, pengalaman berkempen hanya menerusi sistem dalam talian suatu pengalaman baharu dan memerlukan strategi yang luar biasa.
Usahlah kelak, yang mengundi masih dalam bayang-bayang lama iaitu mengundi hanya berteraskan faktor wajah dan rupa.
Mendepani cabaran COVID-19 ini, keupayaan memimpin perubahan menjadi begitu signifikan.
Peranan JPMPP juga menjadi lebih tangkas kerana menguasai teknologi menjadi sangat perlu.
Dengan World Economic Forum (WEF) meletakkan antara domain utama dalam Top 10 Skills 2025 ialah pembangunan dan penggunaan teknologi, pasti setiap yang dipelajari menambah nilai dalam diri ahli JPMPP.
Selain daripada kemahiran menganalisis keperluan, membuat keputusan, bekerja dalam pasukan dalam masa yang terhad semua ini pengalaman yang tidak boleh dibayar dengan wang ringgit.
Percayalah, nilai dan kemahiran inilah yang membina kualiti diri pelajar merangkumi kapasiti, keupayaan dan pembentukan peribadi.
Akhirnya, raikanlah sebaiknya demokrasi kampus ini demi kebaikan bersama.
Yang bakal diundi, tampilkan watak sebenar penuh dengan adab dan ilmu.
Ingatlah bahawa, jawatan adalah bukan tentang kedudukan, tetapi tentang tindakan.
Yang bakal mengundi, tunaikan tanggungjawab sebaiknya.
Jika selama ini tanpa sedar ramai yang menganggap PMPP/PRK itu hanyalah rutin kampus saban tahun, ini adalah pelaburan yang merugikan.
Jadikan PMPP/PRK suatu medan melahirkan pemimpin masa depan negara yang berkualiti dan pengundi yang menghargai peluang untuk memilih.
Usah ditanya apa akan terjadi pada masa depan, jika ahli yang kononnya berada di puncak ilmu pun tidak menghargai ruang dan peluang yang ada.
Kita duduk diam dan teruslah bersedih!
*Profesor Madya Dr Afandi Ahmad merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UTHM.
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Profesor Madya Dr Afandi Ahmad
Thu Dec 31 2020
Barisan JPMPP UTHM sedang bertungkus lumus mengendalikan sesi penamaan calon secara dalam talian - Foto PHEP UTHM
Tiga ditahan, pelbagai dadah bernilai RM44,200 dirampas
Semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah narkotik.
Banjir: Jumlah mangsa kekal 47 orang di dua negeri
Dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka melibatkan dua negeri.
Malaysia pilih jalan sukar, tewas 0-1 kepada Thailand
Malaysia wajib menang menentang Singapura pada 20 Dis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Simposium Legenda Puteri Santubong dianjur tahun depan - Nancy
Datuk Seri Nancy Shukri berkata simposium itu bakal dianjurkan dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia.
Inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak satu peluang luar biasa - TYT
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Sarawak memerlukan ramai tenaga mahir, untuk mencapai visi menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.
Rakyat Jepun bantah keganasan seksual tentera Amerika Syarikat
Rakyat Jepun pada petang Jumaat berhimpun di luar Kementerian Luar di Tokyo untuk membantah keganasan seksual oleh anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara itu.
Indonesia sediakan sistem keselamatan siber sokong transformasi digital
Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital sedang menyediakan sistem keselamatan siber bagi menyokong pelaksanaan transformasi digital di Indonesia.
Ekonomi ASEAN mengalami pertumbuhan stabil pada 2024 di sebalik cabaran
Asia Tenggara muncul sebagai antara rantau dengan pertumbuhan ekonomi paling pesat di dunia.
Tiga kilang perabot, kotak di Bandar Puncak Alam terbakar
Tiga premis dipercayai kilang perabot dan kotak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar malam ini.
Tumpuan Ahad – 15 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Cabaran pilihan raya kampus tanpa berada di kampus
Walaupun ekosistem kampus mengalami fasa 'gangguan' pandemik COVID-19, wakil yang membawa suara pemegang taruh utama di Universiti tetap perlu dipilih dengan telus dan penuh kesaksamaan.