SERDANG: Cadangan supaya audit forensik dijalankan terhadap dakwaan salah laku melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita akan bawa (perkara itu) ke Kabinet (untuk) dibincangkan," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) Universiti Putra Malaysia, di sini, pada Selasa.
Anwar berkata demikian bagi mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar audit forensik dijalankan bagi mengenal pasti sama ada berlaku penyalahgunaan kuasa, pecah amanah atau pelanggaran tatakelola dalam pengurusan agensi berkenaan.
Kelmarin, Ahmad Zahid dipetik sebagai berkata, audit pengurusan sahaja tidak memadai memandangkan isu melibatkan FELDA telah berlarutan sejak sekian lama dan mengakibatkan kerugian mencecah berbilion ringgit.
Mengulas lanjut mengenai isu pengurusan FELDA, Perdana Menteri menjelaskan, beliau kini sedang menunggu laporan lengkap daripada pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat perkara berkenaan sebelum membuat sebarang pengumuman rasmi.
Beliau memaklumkan, pasukan petugas khas itu telah memulakan tugas dan dapatan siasatan dijangka dibentangkan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa hasil siasatan tersebut akan didedahkan kepada umum, sebagaimana pendekatan yang diambil terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji sebelum ini.