MALAYSIA
Cadangan gubal Akta Anti-Buli dijangka dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat

Azalina ditemui wartawan ketika menghadiri Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di sini hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk mengubal Akta Anti-Buli dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ringkasan AI
- Azalina Othman Said menyatakan bahawa perbincangan dasar sedang dijalankan melibatkan pelbagai kementerian sebelum dibawa ke Parlimen untuk penggubalan undang-undang khusus berkaitan buli.
- Kes buli kini ditangani melalui pelbagai akta seperti Akta Keselamatan Dalam Talian dan Kanun Keseksaan, namun kerajaan bercadang menubuhkan tribunal khas untuk kes melibatkan pelajar dan kanak-kanak.
- Azalina memaklumkan bahawa prosedur menangani buli di sekolah telah diperincikan dalam dokumen rasmi, dan BHEUU akan keluarkan FAQ untuk elak kekeliruan undang-undang melibatkan kanak-kanak.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Forum Undang-Undang ASEAN 2025 bertemakan Memperkasakan Akses kepada Keadilan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN: Merapatkan Kerjasama Perundangan demi Pertumbukan Inklusif dalam Era Digital, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Azalina berkata isu utama ketika ini ialah ketiadaan definisi khusus berkaitan perbuatan atau hukuman bagi kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata kes-kes berkaitan buli pada masa ini ditangani melalui pelbagai akta antaranya seperti Akta Keselamatan Dalam Talian, Akta Antigangguan Seksual, undang-undang buruh serta beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) akan mengeluarkan senarai Soalan Lazim (FAQ) dalam masa terdekat bagi menjelaskan perbezaan antara Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan rakyat.
"Ramai yang salah faham, kanak-kanak tetap boleh dituduh di bawah undang-undang jenayah. Cuma prosedurnya berbeza, misalnya mereka tidak boleh dibicarakan di mahkamah terbuka.
"Saya nak beri jaminan, salah tetap salah. Undang-undang terpakai kepada semua, sama ada kanak-kanak atau dewasa," katanya.
Azalina turut memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan telah menggariskan prosedur lengkap dalam menangani kes buli di sekolah melalui satu dokumen panduan yang komprehensif.
"Saya dah tengok buku tu boleh tahan tebal dia, dia bagi perinci, satu demi satu, apa nak buat, macam mana nak selesai," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini menyatakan cadangan penubuhan tribunal berhubung kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan 58 penceramah dan moderator dalam 15 sesi, dengan lebih 300 peserta dari rantau ASEAN dan antarabangsa, membincangkan pelbagai topik termasuk penyelesaian pertikaian alternatif, reformasi undang-undang komersial serta hak asasi manusia dalam era digital.
Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran, Setiausaha Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) Anna Joubin-Bret.
Turut hadir Menteri Kehakiman Timor-Leste Sergio de Jesus Fernandes da Costa Hornai, dan Timbalan Menteri Kehakiman Laos Ketsana Phommachanh.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami