KUALA LUMPUR: Satu Memorandum Jemaah Menteri dijangka dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada September bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik dibentangkan di sidang Parlimen pada Oktober 2022.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perbincangan telah diadakan bersama beberapa pihak berkepentingan bagi membincangkan perkara tersebut.

Tambahnya, antara dasar penting yang dibincangkan adalah berhubung penubuhan entiti pengawalseliaan sumbangan politik, penyumbang yang dibenarkan, dan penetapan penalti ke atas kesalahan di bawah undang-undang ini.

"Satu perbincangan telah diadakan bersama Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, JPM (BHEUU, JPM).

"Selain itu, pihak GIACC diarah memperhalusi perkara-perkara dasar ini dan pihak BHEUU dan AGC menyediakan draf pentadbiran dengan mengambil kira pandangan serta contoh-contoh yang diberikan pihak CSO dan NGO.

"Pada masa sama, analisa perbandingan (comparative analysis) pemakaian undang-undang ini dari negara-negara lain perlu dilaksanakan bagi tujuan penanda aras undang-undang ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, Wan Junaidi juga menyarankan agar undang-undang ini diselaraskan dengan undang-undang sedia ada di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Beliau turut menyarankan agar draf RUU disediakan secepat mungkin bagi membolehkan sesi libat urus diadakan dengan semua pemegang taruh mengikut garis masa yang akan disediakan oleh GIACC.

“Bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus politik, adalah wajar undang-undang ini dilaksanakan dengan segera,” tambahnya.