Sebanyak 31 kementerian, jabatan dan agensi telah mengemukakan cadangan untuk dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, semua maklumat dan cadangan yang diperoleh akan dianalisis oleh Pasukan Petugas di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan diperhalusi oleh kementerian berkaitan.

"Setakat 5 Jun, sebanyak 331 cadangan termasuk 35 cadangan bertulis telah diterima melalui pautan dan e-mail yang disediakan.

"BHEUU juga bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk menggunakan platform Unified Public Consultation (UPC), yang mempunyai pengguna berdaftar merangkumi pelbagai sektor industri. Sebanyak 64 cadangan telah diterima melalui platform ini," katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Takiyuddin berkata, cadangan RUU ini akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses penggubalan, sebelum dibawa ke sidang Parlimen Julai depan.

Katanya, kerjasama daripada semua pihak adalah penting untuk memberikan input terbaik bagi membantu ke arah penggubalan akta yang holistik dan efektif, untuk mengurangkan kesan pasca COVID-19 kepada rakyat Malaysia.

Menjelas lanjut beliau berkata, cadangan yang diperoleh adalah hasil proses pengumpulan maklumat dan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan, termasuk agensi pelaksana dan pihak industri.

Pada masa yang sama katanya, BHEUU juga mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan lain seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta pihak Majlis Peguam Malaysia, Sabah Law Society dan Advocates Association of Sarawak.

Sebelum ini Takiyuddin berkata, penggubalan RUU itu merupakan komitmen kerajaan untuk meminimumkan impak penularan pandemik COVID-19, yang memberi kesan langsung ekonomi dan sosial kepada rakyat dan industri.

RUU itu juga antara lain akan turut mengambil kira isu obligasi kontrak, serta beban kewangan yang melibatkan syarikat dan individu.

-- BERNAMA