PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sudah ada calon yang sesuai untuk mengisi portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, yang kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Julai lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Furqan di sini hari ini, Anwar ketika ditanya jika sudah ada nama pengganti Salahuddin berkata: "Ada, ada."

Tanpa mendedahkan butiran individu yang dimaksudkan, Anwar berkata ia akan akan diumumkan secepat mungkin.

Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada malam 23 Julai lepas setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ketika ini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Sementara itu, ditanya mengenai dapatan kaji selidik Merdeka Center yang menyatakan kadar penilaian kelulusan Anwar sebagai perdana menteri merosot kepada 50 peratus berbanding 68 peratus dalam tinjauan sebelum ini, Anwar berkata beliau mengambil maklum akan perkara itu.

Beliau berkata maklum balas itu adalah daripada 1,200 orang dan bukannya 32 juta rakyat Malaysia.

"Kajian mereka hanya 1,200 sahaja, dan kita mendengar pandangan itu, tetapi kita juga kena cuba menyantuni seramai 32 juta orang," katanya.

Media melaporkan kaji selidik Merdeka Center yang menyatakan penerimaan terhadap Anwar menurun selepas setahun pentadbirannya.

-- BERNAMA