Semua calon dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berlangsung perlu menghargai undi yang diberikan oleh setiap anggota, kata Naib Presidennya Nurul Izzah Anwar.

Beliau yang akan mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan kali ini berkata semua calon perlu diberi peluang untuk memimpin parti pada masa depan.

"Ini adalah pertandingan dalam keluarga dan kita hargai setiap seorang anggota yang keluar untuk mengundi mereka (calon)," katanya kepada pemberita selepas program ceramah Kalis Masa Depan 'Sebuah Amanat' di Dewan Mercu, Jalan Manong dekat sini malam tadi.

Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh berkata kehadiran calon untuk bertemu dengan setiap pengundi memberi peluang mereka untuk bersuara dalam parti.

Ditanya mengenai jawatannya dalam PKR, Nurul Izzah berkata jawatan itu wadah untuk meneruskan agenda reformasi.

Selain itu, pihaknya juga berterima kasih kepada agensi penguat kuasa seperti polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kerana membantu mengawal kelancaran pemilihan parti.

-- BERNAMA