KOTA BHARU: Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dan 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Kelantan menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Azhan Anuar berkata, seramai 37 calon berjaya memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding 31 calon pada STPM 2024.
Menurut beliau, jumlah calon yang memperoleh 4A turut meningkat kepada 123 orang berbanding 94 calon pada tahun sebelumnya.
“Pencapaian keseluruhan negeri juga bertambah baik apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) STPM Kelantan meningkat daripada 3.00 pada tahun 2024 kepada 3.06 pada tahun 2025.
“Peningkatan ini membuktikan komitmen tinggi calon, guru serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan akademik dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Padang Garong (1), di sini, pada Khamis.
Azhan berkata, seramai 160 calon atau 4.86 peratus daripada keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan berjaya memperoleh PNGK 4.00, meningkat sebanyak 35 orang berbanding tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, peratusan calon yang memperoleh lulus penuh bagi empat dan lima mata pelajaran turut meningkat daripada 85.3 peratus kepada 86.9 peratus, melibatkan 2,858 calon.
Azhan berkata, daripada lima calon Orang Asli yang menduduki peperiksaan itu, tiga daripadanya layak dianugerahkan Sijil STPM.
Beliau berkata, seramai 11 calon berkeperluan khas melibatkan kategori ketidakupayaan fizikal, spastik dan autistik turut menduduki peperiksaan berkenaan, dengan sebahagian daripada mereka berjaya memperoleh keputusan yang membanggakan.
“Kejayaan ini membuktikan setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mencapai kecemerlangan akademik apabila diberikan sokongan dan ruang pendidikan yang sesuai,” katanya.
Menurutnya, daripada 3,289 calon yang hadir menduduki peperiksaan STPM 2025, seramai 3,275 calon atau 99.57 peratus layak dianugerahkan Sijil STPM.
“Pencapaian ini membuktikan STPM terus menjadi laluan prauniversiti yang berkualiti serta diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kita berharap kejayaan calon STPM 2025 akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memilih STPM sebagai laluan utama menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya. -Sinar Harian