PUTRAJAYA: Kawasan peranginan tanah tinggi, Cameron Highlands, Pahang diangkat sebagai antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia pada tahun ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024, hari ini.

Penetapan bandar paling bahagia itu dibuat melalui Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Penilaian juga adalah berlandaskan kriteria dan garis panduan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu dengan mendapatkan hasil persepsi dan perasaan penduduk di tanah tinggi berkenaan.

Turut tercatat dalam senarai bersepuluh itu ialah Jeli, Jerantut, Kuala Terengganu, Lenggong, Bandaraya Melaka, Petaling Jaya, Port Dickson dan Rompin.

Indeks kebahagian merangkumi 14 komponen penilaian antaranya alam sekitar, pemimpin tempatan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), infrastruktur asas, hubungan dengan jiran, keseronokan bekerja, dan tahap stres.

Malaysia negara ke-55 paling bahagia di dunia

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, Malaysia kini diiktiraf sebagai bandar ke-55 paling bahagia di dunia dengan skor indeks 6.012 mata.

"Kedudukan ini menunjukkan lonjakan sebanyak 15 anak tangga berbanding tahun 2022," katanya. 

Sebelum ini, Malaysia berada di kedudukan ke-70 pada tahun 2021, dan di kedudukan 81 pada tahun 2022.

"Jika dibandingkan dengan negara tetangga ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua selepas Singapura, manakala di rantau Asia, kita berada di tangga kesembilan," tambahnya.

Jelasnya, ia menggambarkan kesejahteraan rakyat terpelihara melalui perkhidmatan yang diberikan oleh PBT, selain ketersediaan kemudahan yang menyumbang kepada persekitaran hidup yang selesa serta kondusif.

"Saya difahamkan, bagi pengukuran Indeks Kebahagiaan pada tahun 2024, sebanyak 144 PBT telah menyertai kaji selidik indeks, dengan 71 peratus telah mencapai tahap bahagia dan 29 peratus mencapai tahap sederhana bahagia," ujar beliau

Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia diraikan setiap tahun pada 20 Mac di seluruh dunia sebagai pengiktirafan kepada pertalian antara keseimbangan pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk.

Di Malaysia, Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan disambut secara rasmi sejak tahun 2015.