MALAYSIA
CAP nasihat kaum India guna SARA beli keperluan asas Deepavali

N.V Subbarow berkata CAP juga mengingatkan pengguna supaya tidak tergesa-gesa menggunakan sumbangan itu kerana tarikh akhirnya pada 31 Dis nanti selain digunakan secara berhemat. - Gambar fail/Sinar Harian
GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini menasihatI penganut Hindu menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk membeli barangan keperluan asas makanan sempena sambutan Deepavali pada 20 Okt depan.
Pegawai Pendidikan Kanan CAP N.V Subbarow berkata pihaknya juga menasihatkan supaya tidak membelanjakan wang tersebut untuk barangan yang tidak perlu.
"CAP mengucapkan terima kasih kepada kerajaan MADANI kerana menyediakan RM100 di bawah skim MyKasih dan kami menggesa penerima untuk menggunakannya untuk keperluan terutama membeli barangan keperluan perayaan Deepavali, ia adalah hadiah kepada penganut Hindu yang menyambutnya.
"Ada yang merungut hanya RM100 tetapi sebenarnya jika ada lima orang dalam sebuah isi rumah yang berumur 18 tahun ke atas keluarga tersebut akan mendapat RM500, ini akan mengurangkan banyak beban keluarga B40," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata CAP juga mengingatkan pengguna supaya tidak tergesa-gesa menggunakan sumbangan itu kerana tarikh akhirnya pada 31 Dis nanti selain digunakan secara berhemat.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan mengumumkan pemberian sekali beri RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas di bawah program SARA.
Inisiatif itu memberi manfaat kepada 22 juta rakyat, melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi pogram Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.
--BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami