IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) menekankan kepentingan pengesanan awal dan rawatan segera bagi penyakit jantung, khususnya serangan jantung akut bagi mengurangkan risiko komplikasi serta kematian.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, penyakit jantung iskemia, kekal sebagai punca utama kematian di Malaysia pada 2024, justeru penting untuk meningkatkan kesedaran tentang pencegahan, pengesanan awal, rawatan segera dan kesinambungan penjagaan pesakit.
“Untuk tahun ini, World Heart Federation masih mengekalkan tema sambutan “Don’t Miss A Beat”. Tema ini mengingatkan kita bahawa tanda-tanda penyakit jantung masih sering terlepas pandang atau lambat dikesan, sehingga sudah terlalu lewat.
“Kempen ini memberikan tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu mengenali tanda-tanda penyakit jantung, menjaga kesihatan jantung melalui pengesanan dan pengawalan faktor risiko, serta tindakan oleh pembuat dasar kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Jantung Sedunia 2026 Peringkat Negeri Perak dan Perasmian Perak Primary PCI STEMI Network: Kinta District Primary Care Chapter di HRPB, di sini, pada Sabtu.
Dr Mohd Azman berkata, seseorang mungkin kelihatan sihat dan aktif, namun mempunyai faktor risiko seperti tekanan darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi, berat badan berlebihan atau gaya hidup yang tidak aktif.
Selain itu, beliau berkata, ST-Elevation Myocardial Infarction (STEMI) akut ialah satu bentuk serangan jantung yang paling kritikal dan memerlukan tindakan segera.
“Prinsip “Time is Myocardium” perlu menjadi pegangan kita. Setiap minit tanpa rawatan boleh menyebabkan kerosakan otot jantung. Oleh itu, pengurusan STEMI akut memerlukan jaringan perkhidmatan antara fasiliti kesihatan yang tersusun, pantas dan bersepadu.
“Perak Primary PCI STEMI Network yang ditubuhkan sejak Julai 2025, menghubungkan beberapa hospital di Perak dengan Jabatan Kardiologi HRPB. Jaringan ini bertujuan memastikan diagnosis, mobilisasi dan rawatan invasif melalui PCI, dapat dilaksanakan dengan pantas bagi pesakit serangan jantung STEMI akut,” katanya.
Beliau berkata, setahun selepas jaringan itu dimulakan, beberapa Klinik Kesihatan di Daerah Kinta dilibatkan secara rasmi pada Julai 2026, dan melalui aturan itu, pesakit STEMI akut yang hadir ke klinik kesihatan berkenaan dihantar terus ke ICL Jabatan Kardiologi HRPB, selepas konsultasi dengan pakar kardiologi, tanpa perlu dihantar ke Jabatan Kecemasan HRPB terlebih dahulu.
Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Negeri Perak 2026, turut menyediakan saringan kesihatan serta pemeriksaan ekokardiogram percuma khusus untuk penjawat awam Perak di Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi (KWKK).
Turut berlangsung Perak Cardio Update 2026 yang menghimpunkan lebih 200 pengamal kesihatan untuk berkongsi pengetahuan terkini, garis panduan klinikal dan amalan terbaik penjagaan kardiovaskular.
-- BERNAMA