GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan kerajaan memberi pertimbangan serius terhadap pelaksanaan dasar dan strategi bagi meminimumkan kesan bencana terhadap haiwan.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata hal ini kerana haiwan ternakan dilihat antara yang sering menjadi mangsa bencana alam terutama banjir, malah penternak yang menyara hidup dengan hanya bergantung kepada hasil penternakan turut terjejas teruk disebabkan haiwan adalah bukan keutamaan dalam pengurusan bencana.

Beliau berkata pengurangan risiko bencana (DRR) adalah tindakan masa hadapan dan kerjasama dengan pertubuhan kebajikan haiwan antarabangsa boleh dilakukan bagi memastikan keselamatan haiwan peliharaan dan ternakan.

"Malaysia perlu mempunyai strategi dan dasar untuk meningkatkan pengetahuan dalam responsif ternakan, justeru dalam hal ini Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) perlu mempertimbangkan dengan serius untuk melaksanakan dasar dan strategi bagi mengurangkan risiko dan meminimumkan kesan bencana terhadap haiwan.

"Banjir bukan saja menyebabkan kemusnahan harta benda tetapi juga mengakibatkan kehilangan nyawa, ternakan serta tanaman pertanian. Haiwan menderita semasa bencana kerana ia sangat bergantung kepada manusia, oleh itu kami menggesa haiwan domestik dan ternakan dimasukkan ke dalam rancangan kecemasan," katanya dalam kenyataan.

Mohideen berkata data Jabatan Perangkaan merekodkan sebanyak RM36.9 juta kerugian dalam sektor ternakan pada 2022 sekali gus menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara.

Beliau berkata langkah perlu diambil bagi mengurangkan kerugian manakala kesiapsiagaan kecemasan penting demi menjaga kebajikan haiwan serta kesinambungan perniagaan di samping perancangan yang lebih awal bagi melindungi haiwan sebelum dan semasa bencana.

-- BERNAMA