GEORGE TOWN: Kira-kira 300 nelayan pantai di Teluk Kumbar, dekat Bayan Lepas Pulau Pinang bimbang terputus mata pencarian berikutan masalah pencemaran laut yang semakin serius berlaku di perairan itu ketika ini.

Kejadian tersebut yang berlaku sejak lebih lima tahun yang lalu ini menyebabkan hasil laut seperti ikan, udang, ketam, kerang dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama mereka diancam kepupusan

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader memaklumkan, tinjauan  yang dilakukan pihaknya mendapati pencemaran itu dipercayai berpunca daripada pembuangan sisa kotoran dari beberapa buah kampung dan taman perumahan penduduk berhampiran.

“Nelayan yang ditemui turut mendakwa bahan kotoran tersebut dibuang ke dalam sungai di situ dan terus ke laut menyebabkan air bertukar warna menjadi hitam dan berbau busuk” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Seorang nelayan, Bakri Bakar, 56, mengakui, hasil tangkapan nelayan di situ semakin berkurangan sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Kami kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku namun tidak ada tindakan bagi mengatasinya diambil oleh pihak bertanggungjawab” ujarnya.

Menurut Bakri, perairan 100 meter dari pantai Teluk Kumbar telah tercemar oleh sisa kotoran dan sampah sarap dan bahan- bahan itu  terdampar di tepi pantai akibat dibawa arus menyebabkan kawasan tersebut berbau busuk.

Sehubungan itu, Mohideen berkata, pihaknya  menggesa kerajaan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu.

Menurutnya, sekiranya dibiarkan tanpa apa-apa  tindakan, dibimbangi  kejadian pencemaran di sungai dan laut di situ akan menjadi lebih serius.

Lebih membimbangkan apabila para nelayan yang bergantung hidup kepada hasil tangkapan di kawasan tersebut akan kehilangan sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka.