KUALA LUMPUR: Penyanyi rap Caprice selesai memberi keterangan dipercayai berhubung tindakannya memuat naik video reaksi berkaitan insiden seorang pelajar sekolah maut dilanggar kenderaan dipandu seorang pegawai kanan polis, baru-baru ini.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, kira-kira 12.30 tengah hari ditemani pengarah filem Datuk Afdlin Shauki Aksan.

Ketika ditemui pemberita sejurus selesai memberi keterangan, beliau memaklumkan polis telah mengambil dua telefon pintar, sebuah komputer riba, kamera dan kad memori miliknya bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Video yang dimuat naik Caprice menerusi media sosial itu, bagaimanapun telah dipadamkan.

Sementara itu, sumber polis mengesahkan Caprice telah direkodkan keterangan di IPD itu.

-- BERNAMA