KOTA KINABALU:Bank Simpanan Nasional (BSN) menutup cawangan utama bank itu di sini, berikutan seorang kakitangannya yang bertugas di situ dikesan positif COVID-19.

BSN dalam kenyataan hari ini memberitahu, sehubungan itu cawangan itu ditutup bermula hari ini bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan menyeluruh, mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan dan cawangan itu akan dibuka kembali Jumaat ini (16 Okt).

Menurut kenyataan itu proses pengesanan kontak rapat telah dilakukan bagi mengenal pasti mereka yang mempunyai hubungan langsung, dengan kakitangan tersebut.

"Mereka telah dikenal pasti akan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari untuk memantau keadaan kesihatan dan akan berjumpa dengan pakar sekiranya didapati bergejala. Bank telah menyediakan pelan kesinambungan perniagaan yang diperlukan untuk memastikan kelancaran fungsi operasinya," katanya.

BSN juga menyatakan bahawa tindakan pencegahan dan kebersihan telah ditetapkan di semua operasi untuk mengurangkan sebarang risiko kesihatan yang timbul daripada penyebaran virus ini.

-- BERNAMA