KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) hari ini mengedarkan sebanyak 1,000 kit penjagaan diri dan kudapan untuk penerima vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) World Trade Centre, Kuala Lumpur (WTC KL).

Ketua Pegawai Komersial CBP, Mohd Faris Kamarudin berkata, ia sebahagian usaha menarik minat orang ramai menerima vaksin.

Jelasnya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu merupakan sebahagian daripada inisiatif membantu meringankan beban kerajaan serta penerima vaksin secara mental dan fizikal.

"Sejak tahun lalu, CBP giat menjalankan pelbagai program kebajikan berkaitan dengan COVID-19 termasuk menyampaikan beg makanan kepada kumpulan kesihatan dan keselamatan yang bertugas.

"Tahun ini, CBP diberi peluang untuk menyokong program vaksin dan pemberian kit ini adalah sebahagian langkah untuk membantu menjayakan program serta akan diadakan di beberapa pusat pemberian vaksin yang terpilih," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: Prestasi memberangsangkan dorong CBP buka cawangan baru

BACA: 
CBP sasar 200 koperasi membabitkan jumlah deposit RM100 juta

Jelasnya, CBP memperuntukkan RM10,000 bagi 1,000 kit penjagaan kesihatan dan kudapan.

Kata Mohd Faris, selari dengan saranan kerajaan, CBP sentiasa menyokong dan mengajak syarikat milik kerajaan dan organisasi swasta untuk turut sama membendung penularan COVID-19.

"Sebagai entiti perniagaan perkhidmatan berkeperluan yang juga institusi kewangan, CBP turut terkena tempias akibat COVID-19 yang semakin meningkat kes saban hari.

"Jadi, adalah menjadi tanggungjawab CBP untuk memastikan perkhidmatan ditawarkan kepada pelanggan termasuk koperasi dan individu diteruskan dan tidak terjejas akibat pandemik.

"Kit ini dilengkapi dengan pelitup muka, cecair pembasmi kuman, pen, air mineral dan kudapan. Juga diselitkan buku maklumat mengenai CBP.

"Pemberian barangan ini turut mendapat kerjasama pihak berkenaan seperti keselamatan dan kesihatan untuk memastikan pemberian kit ini tidak menganggu proses pemberian vaksin," katanya.