Cek bernilai RM1.4 juta yang dibayar oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown adalah tulen.

Peguam Rewcastle-Brown, Americk Singh Sidhu berkata, beliau kini sedang menunggu dua hingga tiga hari lagi sebelum pembayaran cek itu dijelaskan.

Tempoh berkenaan itu membolehkannya memindahkan wang berkenaan ke akaun Rewcastle-Brown di London.

Americk juga memaklumkan, cek yang bertarikh 31 Januari 2019 itu diterimanya pada 24 Januari lalu.

CEK RM1.4 juta yang dibayar Abdul Hadi Awang kepada Clare Rewcastle-Brown. - Gambar ihsan Americk Sidhu

“Dia (Nasrudin Hasan) menafikan bayaran itu dibuat oleh Pas, tetapi bayaran itu sebenarnya dibayar oleh Hadi Awang untuk menyelesaikan kes di London.

“Nasarudin kata cek itu cek palsu, tapi kalau palsu, bagaimana dia boleh jelas melalui akaun saya?” soalnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Sidhu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Nasrudin yang juga Ketua Penerangan Pasyang mendakwa menafikan gambar cek dan nombor akaun yang dikatakan sebagai bayaran RM1.54 juta yang dibuat Pas.

Pada Khamis, gambar dan nombor akaun yang tertera pada cek itu menjadi tular.

Nasrudin dalam satu kenyataan yang dimuat naik di dalam Facebook pada Jumaat berkata, ada dalam kalangan rakan-rakannya membuat semakan nombor akaun berkenaan dengan cuba memindahkan wang, namun ternyata akaun itu tidak wujud.

Dalam pada itu, Americk turut memberitahu, sekiranya cek itu palsu, pihak bank tidak akan menerimanya dan sudah tentu ia akan dikelaskan sebagai cek tendang.

“Kalau cek ini bukan cek tulen, bagaimana ia boleh dijelaskan di dalam akaun saya, jadi ertinya duit sudah masuk saya punya akaun.

“Daripada mana duit itu datang. Kalau cek tidak benar atau cek palsu memang duit tidak boleh dimasukkan dalam akaun saya. Secara logik, cek itu mestilah cek tulen. Jika tidak, bagaimana ia boleh ‘muncul’ di akaun saya,” jelasnya.

BACA; Anwar dakwa ada bukti Hadi bayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report

BACA: Clare sahkan Hadi bayar RM1.4j secara rahsia selesai kes saman