KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd Datuk Azmi Ahmad telah dibebaskan daripada tahanan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini.
Sehubungan itu, kumpulan perkhidmatan minyak dan gas luar pesisir itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, memaklumkan Azmi akan menggalas semula semua peranan eksekutif serta tanggungjawab kepimpinannya dalam syarikat itu berkuat kuasa serta-merta.
“Pihak Lembaga Pengarah juga menegaskan aspek operasi perniagaan harian, kedudukan kewangan dan tadbir urus strategik kumpulan secara keseluruhannya kekal stabil dan tidak terjejas,” maklum kumpulan itu.
Pada 17 Ogos lepas, kumpulan itu memaklumkan bahawa penahanan reman Azmi adalah untuk membantu dan bagi tujuan siasatan SPRM dan tidak bermakna wujud sebarang dapatan bagi salah laku.
-- BERNAMA