KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai eksekutif (CEO) Amanie Advisors, Maya Marissa Malek menerima anugerah Tokoh Wanita Timur Tengah 2023 di satu majlis bersempena Sidang Kemuncak Tahunan Tokoh Wanita Timur Tengah 2023, kedua yang berlangsung dari 24 hingga 25 Okt di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Pejabat sejagat Amanie Advisors di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai mengkhusus dalam menyediakan perkhidmatan nasihat Syariah berkualiti kepada pelbagai pelanggan termasuk institusi kewangan, korporat dan kerajaan.

Anugerah itu merupakan satu kejutan buat Maya Marissa, walaupun beliau merupakan pakar kewangan Islam dan Pemimpin Eksekutif yang memenangi pelbagai anugerah.

Beliau juga dikenali sebagai seorang daripada 50 Wanita Teratas Berpengaruh dalam Kewangan Timur Tengah oleh Financial News UK Kumpulan Dow Jones dengan pengalaman meluas memacu perancangan strategik dan kerjasama dengan pemain penting industri - termasuk pengawal selia, korporat, bank dan badan penentu standard.

"Saya fikir ia agak mengejutkan kerana melibatkan diri dalam kewangan Islam di Timur Tengah, bidang dikuasai lelaki tidak seperti di Malaysia, jadi saya tidak menduga mereka mempunyai pengiktirafan ini, saya tidak menjangkakannya," katanya kepada Bernama menerusi panggilan telefon semalam.

Mengenai cabaran dihadapi, Maya Marissa berkata selepas berpindah ke Dubai bersama keluarganya pada 2014 dan beliau terpaksa melepasi pelbagai rintangan untuk muncul sebagai ketua firma penasihat syariah di luar Malaysia terutamanya di Timur Tengah.

"Terdapat banyak cabaran tetapi saya mampu buktikan yang saya tahu apa yang saya cakap bahawa saya mempunyai apa yang diperlukan ... pengiktirafan akan datang. Mereka mula serius dengan anda dan ingin bekerja dengan anda, mereka menghargai pandangan anda, pemikiran anda, ia merupakan satu proses untuk pertama saya membuktikan siapa saya dan peluang-peluang menjadi terbuka.

"Kami perlu berada selangkah di hadapan dalam industri ini untuk menyediakan penyelesaian syariah terkini dan mempunyai set minda untuk menyelesaikan masalah," katanya sambil menambah adalah menjadi sasarannya menjadikan sistem kewangan Islam sebagai aliran utama di tengah-tengah ketidakstabilan kewangan global.

"Terdapat ketidakstabilan yang meluas di dunia, sekarang adalah masa untuk sebenar-benarnya melihat sistem kewangan Islam sebagai sebahagian daripada aliran utama sistem kewangan kerana sistem kewangan Islam berfungsi berdasarkan aktiviti ekonomi nyata dan berbeza sama sekali dengan sistem kewangan konvensional. Maka ini merupakan masanya seluruh dunia perlu untuk benar-benar memikirkan ini adalah cara melakukan sesuatu dengan lebih mampan, " kata beliau.

Maya Marissa berkata ia memerlukan banyak usaha, mewujudkan kesedaran dan belajar semula untuk berada di tempat beliau sekarang.

"Saya turun ke bawah saya bercakap dengan pemain pasaran, kepada mereka yang menggerakkan dan menggoncang industri untuk meyakinkan merit sistem kewangan Islam, jadi sasaran saya ialah untuk pergi melangkaui kebanyakan negara-negara Islam," katanya.

-- BERNAMA