GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan wanita warga emas yang menceroboh ruang solat lelaki Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani rawatan psikiatri selama sebulan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi terhadap tertuduh, Sofiah Abdul Majid, 65 tahun, mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah selepas mendapati keadaan wanita itu tidak stabil dan memerlukan pemeriksaan rapi.

Terdahulu, tertuduh didakwa membuat pernyataan zahir bahawa imam dan bilal masjid tersebut membaca al-Quran seperti anjing menyalak yang "dirasuk hantu Cina dan Hindu" dengan niat sengaja untuk melukakan perasaan orang tersebut.

Kesalahan tersebut dilakukan di masjid berkenaan pada jam 10 malam 12 Mac lepas.

Bagaimananapun, tiada pengakuan direkodkan tertuduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama setahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes akan disebut semula 19 April depan sementara menunggu keputusan rawatan tertuduh.

Terdahulu, tertuduh bertindak agresif apabila cuba menendang petugas media yang merakam gambarnya sewaktu diiringi ke mahkamah untuk pertuduhan kesnya, kira-kira jam 9.30 pagi.

Dalam insiden pada 12 Mac lalu itu, wanita berkenaan dilaporkan datang sendirian ke masjid itu ketika kebanyakan jemaah sedang hampir selesai melakukan solat sunat witir.