PETALING JAYA: Seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan yang pernah menggegarkan dunia sukan tanah air sekitar tahun 2000 ditahan polis kerana dipercayai menceroboh masuk bilik hotel seorang wanita berstatus isteri orang, sebelum bertindak agresif sehingga berlaku kekecohan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 2.10 pagi, Khamis lalu daripada seorang wanita tempatan yang memaklumkan bilik hotelnya diceroboh masuk suspek kira-kira pukul 6.10 petang, Rabu. 

Beliau memberitahu, 'kehadiran' suspek di tempat kejadian menyebabkan berlaku perselisihan faham sehingga menyebabkan wanita itu mendapatkan bantuan pekerja hotel berkenaan sebelum meninggalkan tempat tersebut. 

"Bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek di Jalan Penchala, Petaling Jaya pada Jumaat. Kita beri jaminan polis pada hari sama.," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.


Fakhrudin memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masuk.

Sebelum ini tular satu hantaran yang dikongsi seorang lelaki dipercayai suami mangsa yang memaklumkan suspek seorang bekas pemain kebangsaan negara dan kini bersama Perak FC.

"Tiada maaf bagi kau 'Ex Malaysia dan Perak', bila aku dah nekad nak teruskan ke mahkamah, duduklah kau dalam tahanan lokap sementara.

"Kau amat dikenali di kaca televisyen dan di padang," jelasnya.

Namun hantaran itu tidak menyebut secara spesifik individu yang dimaksudkan.

Hantaran itu dikongsi semula oleh Facebook Seladang Fan Club.

Beberapa hari lalu, seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada teman wanitanya di sebuah hotel.