KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Chester Voo bakal menamatkan perkhidmatannya pada 31 Dis ini.

Pengerusi CAAM Tan Sri Mohd Khairul Adib Abdul Rahman berkata Voo telah meluahkan hasratnya untuk memendekkan tempoh perkhidmatan pada Oktober lepas, namun pihak CAAM memohon penangguhan bagi membolehkan proses peralihan dan penyerahan tugas kepada pengganti jawatan berkenaan dapat dilaksanakan.

"Perkara ini dipersetujui oleh Datuk Kapten Chester dan beliau serta pihak pengurusan CAAM telah menyediakan pelan strategik 2023 yang lengkap buat CAAM bagi memastikan proses kesinambungan yang positif.

"Beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatannya dan telah diterima Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, hari terakhir perkhidmatan beliau adalah pada 31 Dis ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Khairul berkata CAAM akan meneruskan momentum yang telah membantu beberapa kejayaan dikecapi pihak berkuasa itu di bawah kepimpinan Voo termasuk mengembalikan semula status Kategori 1 bagi Penarafan Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) oleh Federal Aviation Administration (FAA) Amerika Syarikat.

Menurutnya CAAM turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Voo atas dedikasi, kesungguhan, kerja keras dan sumbangan besar yang telah beliau lakukan sepanjang berkhidmat.

-- BERNAMA