Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, reda apabila keahliannya digugurkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Isnin.

Jelasnya, perkara itu telah dijangkakan selepas beliau membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK itu.

"Apabila membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas, ia kerana saya hendak berkhidmat kepada masyarkat... kerana diminta oleh masyarakat... jadi memang saya reda dengan tindakan Bersatu itu," katanya.

Bagaimanapun jelas Tengku Zainul, beliau belum menerima sebarang surat berkenaan pengguguran keahliannya itu.

"Saya tidak terima lagi, tetapi ianya telah diviralkan (dalam media sosial). Saya sibuk di sini, mungkin surat itu sampai ke rumah saya di Pekan," katanya ketika ditemui di Chini pada Selasa.

Semalam, Bersatu dalam satu kenyataan Setiausaha Kerjanya, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya, menjelaskan bahawa calon Bebas itu digugur keahliannya serta-merta.

Ia berikutan tindakan Tengku Zainul didapati melanggar Fasal 10.2.2 dan 10.2.4 Perlembagaan Parti apabila mengemukakan borang penamaan calon dalam PRK DUN Chini sebagai calon Bebas tanpa kebenaran dan persetujuan Bersatu.