Menunggu giliran untuk dikhatankan satu pengalaman cukup mendebarkan bagi kanak-kanak.

Namun sedikit berbeza di Jitra, Kedah apabila pengalaman itu dirasai seorang lelaki dewasa bukan Islam berusia 31 tahun yang turut sama berkhatan.

Bagi lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Alex, bersunat bukan hanya untuk orang Islam, malah ia turut menarik minat kalangan bukan Islam kerana terdapat kebaikan dalam berkhatan.

Justeru, beliau memilih untuk turut serta bersama tujuh kanak-kanak lain bersunat dalam majlis khatan anjuran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), di sini, hari ini.

Alex ketika dikhatankan.

Menurut Alex, beliau melihat amalan tersebut sebagai titik permulaan dalam menjaga kebersihan dan kesihatan diri lantas secara sukarela mahu menjalaninya.

"Mula-mula saya jumpa kawan, selepas itu mereka suruh sunat. Mereka kata tak sakit, macam semut gigit saja.

"Saya terfikir mahu bersunat sebab inginkan kebersihan, lagipun ini atas keinginan saya sendiri," kata Alex.



Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Bustan Karudin, beliau sama sekali tidak menyangka majlis yang dibuka sejak dua minggu lalu ini turut menggamit penyertaan peserta dewasa.

Malah, ini merupakan sejarah buat balai bomba itu apabila pertama kali mendapat penyertaan peserta daripada bangsa lain.

Jelas Bustan, program ini turut mendapat kerjasama Hospital Jitra yang menyediakan kakitangan untuk majlis berkhatan ini.