PUTRAJAYA: Menghasilkan kandungan video promosi produk pelancongan di sekitar Putrajaya dan Selangor merupakan antara tugasan yang perlu dipenuhi oleh 80 peserta Tourism Malaysia Media Explore Race (TOMER) 2023.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata peserta dibahagikan kepada 20 kumpulan dan setiap kumpulan perlu memuat naik video kreatif yang dihasilkan berkaitan produk pelancongan di setiap check-point melalui akaun media sosial masiang-masing.

"Kita buat konsep explore and expose (teroka dan pendedahan). Kita mahu peserta bukan sahaja menjawab soalan treasure hunt dan menyelesaikan cabaran yang diberi, tapi kita mahu mereka juga turut sama mempromosikan produk pelancongan yang ada di Putrajaya dan Sepang.

"Terdapat banyak tempat menarik yang ada di sekitar kita cuma mungkin kurang diketahui orang ramai," katanya kepada Bernama selepas melakukan pelepasan 20 kenderaan peserta TOMER 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata TOMER 2023, yang memasuki tahun kedua penganjurannya, turut menyaksikan penyertaan lima pasukan media antarabangsa dari Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Brunei.

Dalam cabaran kali ini, katanya peserta akan menempuh misi kembara dan eksplorasi harta karun di Putrajaya serta menjelajah laluan persisiran pantai di Selangor secara berkumpulan dengan menaiki kereta tajaan Perodua.

Antara lapan hentian check-point di sepanjang laluan sekitar Putrajaya ialah Dataran Putra, Astaka Morocco, Wetland Studio, Kompleks Nasyrul Quran, Anjung Floria, Taman Ekuestrian, Secret Garden Putrajaya dan Tangga Putrajaya.

Di Selangor pula, para peserta akan melalui enam check-point iaitu Homestay Banghuris, Pantai Bagan Lalang, Pantai Morib, Pantai Kelanang, Istana Bandar Jugra dan Perkampungan Budaya Mah Meri di Pulau Carey.

"Seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia telah menjalankan pelbagai aktiviti promosi dan pemasaran untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Menerusi penganjuran TOMER 2023, publisiti untuk produk-produk pelancongan juga dapat ditingkatkan selain memperkukuh kerjasama awam-swasta bagi menjadikan Malaysia sebagai satu daripada destinasi pelancongan pilihan di rantau ini," katanya.

TOMER 2023 yang diadakan selama tiga hari dua malam, dianjurkan menerusi kerjasama strategik antara Tourism Malaysia bersama Perodua, Perbadanan Putrajaya dan Tourism Selangor.

-- BERNAMA