Skip to main content

Malaysia

UTM perkasa penyelidikan air dan tenaga

Hafiz Dzafran berkata, penyelidik UTM membangunkan pelbagai teknologi berkaitan air dan tenaga termasuk sistem rawatan air berasaskan membran serta teknologi penangkapan karbon bagi menyokong pembangunan mampan negara. - Foto Astro AWANI
Hafiz Dzafran berkata, penyelidik UTM membangunkan pelbagai teknologi berkaitan air dan tenaga termasuk sistem rawatan air berasaskan membran serta teknologi penangkapan karbon bagi menyokong pembangunan mampan negara. - Foto Astro AWANI

Advertisement

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi berkaitan air dan tenaga menerusi pelbagai penyelidikan yang memberi impak langsung kepada industri dan masyarakat.

Menerusi Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), universiti itu menjadi antara peneraju penyelidikan teknologi membran dan rawatan air di negara ini.

Felo Kehormat Pusat Kecemerlangan (AMTEC) Profesor Dr Hafiz Dzafran Othman berkata teknologi membran berfungsi sebagai sistem penapisan berkeupayaan tinggi yang mampu menyingkirkan zarah halus, bakteria, virus dan bahan pencemar lain daripada sumber air.

“Teknologi membran ini mempunyai liang yang sangat kecil dan boleh disesuaikan mengikut aplikasi. Disebabkan itu ia digunakan secara meluas dalam proses rawatan air yang lebih canggih termasuk menghasilkan air minuman yang selamat,” katanya.

Menurut beliau, penyelidik UTM turut membangunkan membran pintar yang mempunyai ciri pembersihan kendiri serta sifat anti-kekotoran bagi meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos penyelenggaraan.

Antara projek utama yang dibangunkan ialah sistem penyahgaraman air laut  di Pantai Senok, Kelantan.

“Loji penyahgaraman  yang kami bangunkan mampu menghasilkan sehingga 500,000 liter air sehari dan memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk di kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga UTM, Profesor Rahmat Mohsin berkata UTM turut memberi tumpuan kepada penyelidikan berkaitan industri petroleum dan gas yang menjadi tunjang pembangunan ekonomi negara.

Menurut beliau, antara fokus utama ketika ini ialah teknologi Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) yang bertujuan mengurangkan pelepasan karbon daripada industri tenaga.

“CCUS merupakan antara bidang yang sedang berkembang pesat. Kita melihat keperluan untuk memastikan pembangunan industri tenaga bergerak seiring dengan usaha menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa kerjasama strategik antara universiti dan industri membolehkan penyelidikan dijalankan berdasarkan cabaran sebenar yang dihadapi syarikat tenaga.

“Universiti sukar bergerak bersendirian. Apabila industri berkongsi data dan cabaran sebenar, kita dapat menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat terus kepada negara, industri dan masyarakat,” katanya.

Tambah Rahmat, pendekatan itu juga membantu melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang lebih bersedia untuk memasuki pasaran pekerjaan serta memenuhi keperluan industri tenaga masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement