KUALA LUMPUR: Hasrat jaguh lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli untuk meraih emas buat kali keempat berturut-turut di Sukan Para Asia menerusi temasya Aichi-Nagoya 2026 tidak kesampaian apabila memperoleh perak dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah intelektual) hari ini.
Muhammad Ziyad yang mengungguli edisi Incheon 2014, Jakarta-Palembang 2018 dan Hangzhou 2022 melakukan lontaran sejauh 16.61 meter (m) di Stadium Olahraga Mizuho Park, Nagoya.
Pingat emas menjadi milik atlet Arab Saudi Bader Bin Ali yang melakukan lontaran bertenaga sejauh 17.08m, sekali gus memadamkan rekod temasya dicipta Muhammad Ziyad, iaitu 16.94m di Jakarta.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara Mohamad Aliff Mohamad Awi membawa pulang pingat gangsa selepas mencatatkan lontaran sejauh 14.45m yang juga rekod peribadi terbaiknya.
Seorang lagi atlet negara Muhammad Suhaimi Abdullah menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 13.12m.
-- BERNAMA