KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunsasi COVID-19 (CITF) sedang menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan kes pemberian vaksin AstraZeneca kurang daripada dos yang sepatutnya.

CITF dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, kedua-dua penerima vaksin yang terlibat dalam insiden berkenaan telah dikenal pasti.

“Kami sentiasa mementingkan mutu perkhidmatan semua pakar perubatan yang terlibat di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), termasuklah pakar perubatan swasta yang diuruskan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd yang terlibat dengan PICK.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mereka yang tidak memenuhi mutu yang kami tetapkan atau melanggar sebarang peraturan,” kata kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, insiden tersebut didakwa melibatkan Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPV AZ) World Trade Centre Kuala Lumpur pada 19 Mei 2021.

Ia dikatakan membabitkan dua kes pemberian vaksin AstraZeneca yang kurang daripada dos yang sepatutnya, iaitu kurang daripada 0.5 mL.