Skip to main content

Malaysia

CMCF bincang tadbir urus permainan dalam talian

CMCF Safety, CMCF Forum - CMCF
CMCF kini pada fasa awal pembangunan Sub‑Kod Permainan Digital, yang akan menjadi sebahagian daripada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

CYBERJAYA: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menganjurkan sesi libat urus pelbagai pihak bagi membincangkan pendekatan tadbir urus permainan dalam talian yang lebih seimbang antara pertumbuhan industri dan perlindungan kanak-kanak serta pengguna rentan.

Sesi itu menghimpunkan platform permainan global, pembangun tempatan, organisasi masyarakat sivil, ahli akademik serta pendukung keselamatan kanak‑kanak dalam satu perbincangan rentas sektor yang menyentuh risiko, tanggungjawab dan realiti operasi dunia permainan digital.

Advertisement

Menurut CMCF, pendekatan ini bertujuan merapatkan jurang antara keperluan industri, harapan masyarakat, dan keperluan perlindungan pengguna, supaya dasar yang dirumus tidak hanya berasaskan penguatkuasaan semata‑mata tetapi menepati realiti teknikal dan tingkah laku pengguna.

"Perbincangan turut meneliti bagaimana ciri reka bentuk permainan, mekanisme pengewangan, alat kawalan ibu bapa, sistem pelaporan dan moderasi, akan mempengaruhi tingkah laku pemain serta pendedahan mereka kepada risiko, khususnya kanak-kanak." kata CMCF dalam kenyataan.

Dialog tersebut menonjolkan peluang meningkatkan perlindungan melalui solusi reka bentuk tanpa menjejaskan kreativiti atau kelestarian komersial industri.

Melalui format interaktif, para peserta menilai keberkesanan perlindungan sedia ada dan meneroka bagaimana pendekatan kawal selia kerajaan, kawal selia kendiri industri, dan pendekatan berasaskan reka bentuk (design‑based governance), boleh saling melengkapi untuk menangani jurang tadbir urus yang sering tidak ketara dalam perbincangan tradisional.

Naib Pengerusi CMCF, Claudian Navin Stanislaus, berkata ekosistem permainan yang mampan bergantung kepada tahap kepercayaan masyarakat.

“Perlindungan pemain, khususnya kanak‑kanak, mesti dilihat sebagai tanggungjawab teras seiring inovasi. Tiada pihak mampu melakukannya secara bersendirian.” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood pula menegaskan, bahawa isu ini tidak patut dilihat sebagai pertentangan antara industri dan kesejahteraan pengguna, sebaliknya kedua‑duanya mesti bergerak seiring.

CMCF kini pada fasa awal pembangunan Sub‑Kod Permainan Digital, yang akan menjadi sebahagian daripada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sub‑Kod tersebut bertujuan menyediakan panduan praktikal berasaskan risiko untuk perlindungan kanak-kanak, reka bentuk permainan bertanggungjawab, jangkaan industri yang lebih jelas, dan prinsip operasi yang lebih selamat.

CMCF mengalu-alukan penglibatan berterusan semua pihak berkepentingan dalam proses pembangunan kod ini.

Must Watch Video