KUALA LUMPUR: Hanya 400 kes atau 1.9 peratus daripada 20,780 kes COVID-19 baharu yang dilaporkan hari ini membabitkan kategori 3, 4 dan 5 iaitu menunjukkan simptom serius.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 20,380 kes atau 98.1 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2 yang tidak serius.

Jelasnya, ia adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa COVID-19.

Kategori 1 merujuk kepada keadaan pesakit yang tidak bergejala; bergejala ringan (kategori 2); jangkitan paru-paru (kategori 3); jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen (kategori 4); serta jangkitan paru-paru dan memerlukan alat bantuan pernafasan (kategori 5).


Selain itu, katanya secara keseluruhan, hanya 5,138 kes (24.7 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

Ujarnya, ada antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham menjelaskan, sebanyak 211 kes kematian pada hari ini melibatkan 79 kes di Selangor, 41 kes di Kuala Lumpur, 21 kes di Kedah, 16 kes di Johor, 13 kes di Sabah, masing masing lapan kes di Negeri Sembilan dan Terengganu.

Selain itu, kematian turut dicatat masing-masing tujuh kes di Pulau Pinang dan Perak, enam kes di Melaka, serta lima kes di Pahang.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham memaklumkan, 18 dari 31 kluster baharu hari ini adalah kluster tempat kerja.