Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat 12 kes baharu jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,212 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 10 kes merupakan penularan tempatan melibatkan warganegara manakala dua lagi adalah kes import membabitkan warganegara asing.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 211 kes.

"Kesemua 10 kes penularan dalam negara melibatkan warganegara Malaysia membabitkan satu di Selangor; Kedah melibatkan empat kes daripada Kluster Tawar dan dua kes daripada Kluster Sala; serta tiga kes di Pulau Pinang juga dari Kluster Tawar.

"Dua kes import dikesan mendapat jangkitan di luar negara iaitu masing-masing satu kes dari Syria dan Filipina," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sehingga kini, terdapat lapan kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 kekal sebanyak 125 kes.

"Sebanyak 17 kes pulih menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,876 kes," katanya.