Proses penghantaran makanan serta barangan keperluan asas bagi penduduk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak akan dihantar menggunakan aset tentera.

Jaminan itu diberikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media harian COVID-19 di Putrajaya pada Selasa.

“Kita sedar bahawa di Sabah dan Sarawak, penghantaran barangan makanan asas adalah agak sukar ke kawasan-kawasan pedalaman jadi kita dapat aduan dari penduduk di rumah panjang misalnya.

“Jadi mesyuarat telah memutuskan dan telah dipersetujui bahawa pihak tentera akan menggunakan aset mereka seperti helikopter dan sebagainya untuk menghantar produk-produk atau pun bahan-bahan makanan dan juga keperluan-keperluan asas ke kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak," kata Ismail Sabri.

Justeru beliau turut meminta agar mereka yang tinggal di kawasan terlibat supaya jangan khuatir kerana kerajaan akan sentiasa memastikan bahawa bekalan makanan dan sebagainya untuk mereka mencukupi.

Beliau turut berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masuk fasa kedua pada 1 April dan akan berlanjutan sehingga 14 April depan.

Setakat ini, tiga kawasan sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Simpang Renggam, Johor, Sungai Lui, Hulu Langat dan Menara City One di Kuala Lumpur.