LABUAN:Pandemik COVID-19 di pulau bebas cukai ini "masih terkawal" walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah kes dan kluster, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari hari ini.

Beliau berkata peningkatan berkali ganda dalam kes harian COVID-19 baru-baru ini tidak menunjukkan pandemik itu sudah tidak lagi terkawal.

Jumlah kumulatif kes COVID-19 di pulau ini setakat 4 November ialah 701, meningkat daripada 29 kes direkodkan pada 3 Okt lepas.

Dr Ismuni memberitahu Bernama purata bilangan kes harian di Labuan ialah antara 20 hingga 30 kes, kira-kira satu peratus daripada 2,000 ke 3,000 sampel yang dianalisis.

Beliau juga berkata kadar pemulihan di Labuan ialah kira-kira 60 peratus dengan 423 pesakit pulih berbanding 701 jumlah kes kumulatif dan 276 kes aktif dicatatkan setakat 4 Nov.

Labuan yang merupakan pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa serta hab minyak dan gas Malaysia dikesan mempunyai lima kluster COVID-19, iaitu Saguking (298 kes), Tenaga (58 kes), Limbungan (49), Titian (29) dan Bina (27) setakat 4 Nov.

Pulau ini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 17 hingga 30 Okt. PKPB kemudian dilanjutkan sehingga 13 Nov.

-- BERNAMA