Sekiranya jangkitan COVID-19 di Malaysia terkawal dengan bilangan kes pesakit kekal satu atau dua angka, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengesyorkan kerajaan supaya prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan di beberapa sektor termasuk sektor pendidikan, sukan dan sosial.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan, ia bergantung kepada jumlah kes jangkitan dalam tempoh seminggu lagi.

"Kita akan memantau kes-kes dalam tempoh seminggu lagi dan sekiranya dalam tempoh itu, kes terkawal seperti sekarang, kita akan menasihati Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perdana Menteri supaya bagi kelonggaran dalam beberapa sektor seperti pendidikan, sukan dan sosial.

"Kita akan bincang bersama dan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Dr Noor Hisham menjelaskan, berdasarkan penularan tempatan dalam tempoh 24 jam, hanya 12 kes termasuk enam warga tempatan dilaporkan.

BACA: COVID-19: 38 kes baharu, 51 pulih dan tiada kematian

Beliau memberitahu, KKM sebelum ini bimbang kemungkinan akan ada peningkatan kes secara mendadak selepas sambutan Aidilfitri.

Namun begitu, katanya setakat ini kes masih terkawal dengan tiada peningkatan mendadak dalam tempoh seminggu.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Noor Hisham memaklumkan, KKM dan polis berjaya mengesan 41 kontak rapat dan ahli keluarga seorang pelajar tahfiz berusia 15 tahun yang disahkan positif COVID-19, baru-baru ini.

"Mereka telah dikuarantin di sebuah institusi awam di Sungkai, Perak dan ujian saringan mendapati kesemua mereka negatif," tambahnya.